Ramai yang menganggap bahawa konsep Kesusasteraan Melayu adalah tidak lari daripada membincangkan mengenai puisi, prosa, manuskrip, cerpen, novel, dan sebagainya. Namun begitu, pernahkah kita menyedari bahawa bidang kesusasteraan Melayu ini mempunyai hubung kait yang rapat dengan bidang-bidang ilmu sosial dan kemanusiaan yang lain? Antaranya adalah bidang antropologi, politik, dan sejarah. Dalam hal ini kita akan membincangkan sebuah karya agung yang merupakan kitab keramat bagi pensejarahan kerajaan Melayu suatu ketika dahulu iaitu Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu atau Malay Annals yang dikarang oleh Tun Sri Lanang. Karya ini merupakan rujukan utama bagi para sarjana untuk mengkaji perkembangan perabadan tamadun Melayu yang dianggap gemilang kerana mempunyai kerajaan yang sangat agung.
Sejarah Melayu yang dikarang oleh Tun Sri Lanang merupakan sebuah karya kesusasteraan yang mempunyai hubung kait dengan bidang sejarah khususnya. Namun begitu, ada sarjana yang menolak karya ini kerana dikatakan terlalu banyak mengandungi unsur-unsur mitos, fantasi, dan ajaib yang tidak layak dianggap sebagai karya agung Melayu. Sesungguhnya kita dapat melihat disini bahawa kebanyakan penulisan-penulisan pada zaman yang lampau banyak diusahakan oleh golongan pihak istana. Malah, sistem pendidikan formal bermula di istana. Justeru, tidak hairanlah apabila golongan pemerintah yang menggalakkan penulisan dan catatan adalah lebih menjurus membawa kepada kepentingan dan manfaat mereka. Dalam hal ini, Tun Sri Lanang yang merupakan Bendahara Johor disamping menjadi seorang penyusun dan pengarang Sejarah Melayu yang terkenal adalah atas arahan raja. Dalam konteks kesusasteraan Melayu, karya ini dianggap sangat indah dan menarik dari segi gaya bahasa dan persuratannya. Kandungannya yang meliputi unsur kelucuan, kebijaksanaan, sindiran, perlambangan, peribahasa, bidalan, pantun, seloka, gurindam yang dikarang dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Jawa, Arab, Melayu, dan lain-lain dengan begitu teliti dan kemas.
Karya Sulalatus Salatin ini merupakan rujukan utama para sarjana sejarah untuk mengkaji perkembangan peradaban Melayu. Walaupun ada sarjana yang menolak hasil karya ini sebagai bahan sejarah, namun ramai tokoh juga menerima karya ini bukan sahaja sebagai hasil kreatif tetapi juga sebagai bahan sejarah. Antaranya adalah Zainal Abidin Wahid yang mengangkat teks tersebut sebagai bahan terpenting untuk mengenali masyarakat Melayu. Beliau menyatakan bahawa tidak ada buku atau manuskrip yang boleh menggambarkan masyarakat Melaka dengan cara yang lebih baik dan jelas daripada Sejarah Melayu. Ramai sarjana sejarah menggunakan teks Sejarah Melayu dalam menghasilkan penulisan sejarah dari segi aspek sosial, politik, dan ekonomi. Terdapat dua versi penulisan sejarah Melayu oleh sarjana iaitu Shellabear dan A. Samad Ahmad. Namun begitu, penggunaan edisi yang dikarang oleh sarjana tersebut memperlihatkan sedikit perbezaan pada peristiwa-peristiwa tertentu.
Pengkajian kesusasteraan Melayu ini yang dapat dilihat dalam aspek sosial, politik, dan ekonomi adalah sangat mencabar kerana dari segi sistem bahasa yang klasik. Penguasaan yang mendalam diperlukan dalam bidang sastera dan sejarah untuk mengkaji peradaban tamadun Melayu. Dari segi aspek politik dan pemerintahan, karya ini memberi sumbangan dalam aspek sejarah dengan memperlihatkan interaksi antara tamadun-tamadun besar di dunia pada zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Di samping itu, kita juga dapat melihat perkembangan negeri Melaka sebagai satu kitaran yang boleh dibandingkan sebagai organisme hidup yang melalui tahap kanak-kanak, remaja, dewasa, dan tua.
Dalam aspek sosial pula, Sejarah Melayu memberikan gambaran mengenai perkembangan sosial yang terdapat dalam masyarakat Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Di samping penggunaan bahasa istana dan klasik yang meluas dalam penghasilan karya, Sejarah Melayu telah memberikan satu “notion” yang penting dalam kebudayaan masyarakat Melayu yang menitikberatkan soal stratifikasi sosial dan kelas. Sememangnya, kehidupan masyarakat Melayu terbahagi kepada dua kelompok utama iaitu golongan pemerintah dan diperintah. Tun Sri Lanang telah melakar satu gambaran penting mengenai masyarakat yang diperintah oleh raja dan begitu juga dengan sistem sosial hasil daripada interaksi dengan tamadun-tamadun lain yang telah dijelaskan dengan begitu jelas dengan medium penyampaian yang klasik. Dalam bidang sosial ini juga, kita dapat melihat dengan jelas perkembangan sistem agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat pada zaman tersebut. Amalan agama dan kepercayaan yang berkembang dengan bermulanya ciri-ciri animisme telah membawa kepada anutan agama Hindu dan seterusnya dengan pertapakan Islam di Alam Melayu.
Karya yang disusun oleh Tun Sri Lanang ini juga digunakan sebagai rujukan untuk melihat kegemilangan kerajaan Melayu terdahulu dalam aspek ekonomi. Jika diteliti, Tun Sri Lanang ada menjelaskan mengenai peranan kerajaan Melaka dalam hal ehwal ekonomi dengan penguasaan selat perairan sehingga muncul sebagai pelabuhan entrepot. Karya sastera ini adalah sebagai referens utama selain daripada catatan Tome Pires, I-Tsing, dan juga para-para pedagang yang telah berdagang di pelabuhan Melaka. Penulisan tersebut jelas memperlihatkan aspek penulisan yang disumbangkan oleh orang Melayu itu sendiri. Jadi, kita boleh melihat bahawa penulisan yang lebih kepada pandangan dan perspektif orang Melayu. Oleh itu, karya sastera Sulalatus Salatin ini merupakan kitab keramat penting yang wajib dikuasai oleh mana-mana ahli sejarah sekiranya ingin mengkaji dalam bidang zaman kesultanan Melayu. Ringkasnya, bidang sastera dan persuratan mempunyai hubung kait yang sangat rapat dengan bidang sejarah untuk menghasilkan sebuah pengkajian.
No comments:
Post a Comment