Monday, December 7, 2015

PUTERA GUNUNG TAHAN



Novel ‘Putera Gunung Tahan’ ialah sebuah karya yang ditulis oleh Ishak Haji Muhammad atau nama penanya Pak Sako. Novel ini pertama kalinya diterbitkan pada tahun 1937 iaitu ketika Tanah Melayu masih berada dalam cengkaman penjajah. ‘Putera Gunung Tahan’ sememangnya mempunyai perkaitan antara bidang sejarah dengan kesusasteraan Melayu.  

Secara ringkasnya, novel ini menceritakan tentang pengembaraan dua orang lelaki Eropah iaitu Robert dan William ke negeri Pahang kerana ingin mencari tempat tempat peranginan yang sesuai. Mereka berdua mendaki naik ke gunung Tahan dan telah sesat dan terpisah. Maka, di situlah bermulanya konflik antara golongan penjajah dan masyarakat peribumi. Tema penulisan Putera Gunung Tahan ini khusus sebagai alat perjuangan menuntut kemerdekaan, keadilan dan menghalau penjajah. 

Gaya penulisan Pak Sako adalah bersifat sindiran, kiasan, malah secara terbuka dan terang-terangan. Beliau mengkritik golongan penjajah yang menyebabkan kemunduran masyarakat peribumi terutamanya dalam pembangunan ekonomi. Antara contoh sindirannya ialah berkaitan teropong magis yang diberikan oleh Ratu Bongsu (Putera Gunung Tahan) kepada William yang dapat melihat kecurangan isterinya di negara mereka. Ini adalah sindiran kepada orang Eropah yang mengagungkan kecanggihan teknologi dan kehebatan sains. Manakala penulisannya atau kritikan yang bersifat terbuka ialah apabila berlakunya peperangan antara orang Eropah dan penduduk tempatan. Beliau menyatakan sedemikian, ‘maka sekiranya sesetengah pihak orang-orang Melayu itu tidak bermuka-muka dan tidak menganiayakan ketua-ketuanya dan tidak makan suap haruslah susah bagi pihak musuhnya hendak menang tetapi apa hendak dikatakan lagi!’. Oleh itu, jelaslah terdapat perkaitan antara sejarah dan kesusasteraan Melayu. Buktinya, semangat patriotisme, mengembalikan maruah bangsa dizahirkan melalui penulisan novel ‘Putera Gunung Tahan’ ini.

Kursus sejarah iaitu Evolusi dan transformasi ekonomi Malaysia menjadikan novel ini sebagai sebuah buku rujukan dalam memperlihatkan sikap penjajah terhadap bangsa peribumi. Monopoli dan eksploitasi penjajah menyebabkan keterbelakangan masyarakat peribumi ke atas semua aspek. Oleh itu, novel kesusasteraan Melayu ini amat signifikan dalam pengkajian bidang sejarah. 

No comments:

Post a Comment