Pengaruh benua kecil India telah awal bertapak di Asia Tenggara sebelum kedatangan Islam melalui proses Indianisasi. Kedatangan pengaruh India ke Asia Tenggara telah membawa bersama kebudayaan hinduisme. Unsur-unsur tersebut termasuklah adat, agama, budaya, sistem tulisan, ekonomi, politik pentadbiran, bahasa, dan kesusasteraan. Kesusasteraan popular yang berunsurkan hinduisme adalah epik Ramayana dan Mahabrata yang mengisahkan peperangan diantara dewa-dewa hindu. Dalam hal ini juga, dunia Islam tidak ketinggalan dalam menghasilkan karya-karya epik yang dikenali sebagai hikayat. Istilah epik bermaksud kisah mengenai keperwiraan dan kepahlawanan tokoh-tokoh tertentu yang menjadi kebanggaan sehingga diangkat menjadi martabat dan identiti sesebuah bangsa. Penghasilan epik digambarkan dengan penuh keistimewaan yang dilakari dengan ciri-ciri utama kepahlawanan termasuklah unsur mitos, lagenda, prosa, dan sejarah.
Namun setelah kedatangan Islam, penulisan hikayat-hikayat bercorak kepahlawanan sedemikian turut menjadi tradisi dan budaya masyarakat pada zaman tersebut. Penghasilan kesusasteraan bercorak Islam di Alam Melayu adalah kesan daripada kedatangan dan perkembangan Islam. Pengenalan cerita-cerita epik Islam ini merupakan satu inisiatif untuk menggantikan wira daripada peradaban Hindu seperti Ramayana, Sang Bono, Pandawa Lima dengan wira-wira daripada peradaban Islam. Karya-karya epik Melayu terkenal yang berunsurkan Islam ialah Hikayat Amir Hamzah. Hikayat tersebut terkenal dengan perwatakan Amir Hamzah yang menunjukkan kegagahan, menegakkan keadilan, sifat tolong-menolong, sifat pengampun, pemurah, pemimpin yang berwibawa, dan yang terakhir adalah perkembangan agama Islam.
Dari segi bahasa dan kosa kata yang digunakan dalam epik ini sememangnya bercorak sastera. Namun sekiranya diteliti, isi kandungan yang cuba disampaikan dalam epik ini membolehkan kita untuk mengetahui perkembangan peradaban masyarakat Arab pada zaman tersebut. Dalam epik ini, kita boleh mengkaji dan mendalami mengenai persoalan yang berkaitan dengan soal politik, ekonomi, perkembangan sosial, dan keadaan persekitaran dunia Arab ketika itu.n Dari segi perkembangan agama Islam, hikayat ini memberi gambaran mengenai perkembangan agama Islam melalui perwatakan Amir Hamzah yang gagah sanggup berjuang dalam medan peperangan untuk mendaulatkan agama Islam. Sebagai seorang pahlwanan Islam, Amir Hamzah digambarkan penegak agama Islam iaitu agama yang benar. Gambaran mengenai ekonomi masyarakat Arab ketika itu dipamerkan dalam perwatakan Amir Hamzah yang menegakkan keadilan yang mahu membela suku Ajam yang dianiaya oleh Afsiran yang merampas harta benda mereka.
Sulalatus Salatin turut menyatakan bahawa hikayat ini memainkan peranan penting dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Model kepahlawanan tokoh-tokoh utama telah menjadi pendorong kepada pahlawan-pahlawan Melayu untuk berjuang menentang musuh. Hikayat Amir Hamzah ini telah dibacakan di Melaka sewaktu negeri itu diserang oleh Portugis pada tahun 1511. Pembacaan hikayat tersebut bertujuan untuk meniup dan membangkitkan semangat orang-orang Melayu berjuang menentang Portugis. Walaupun hikayat ini bercorak kesusasteraan dan persuratan, tetapi ia merupakan teks utama yang banyak memainkan peranan terutama dalam soal dunia Islam. Hikayat ini turut menjadi rujukan dalam pensejarahan di Alam Melayu apabila dinyatakan Tun Sri Lanang dalam penulisan Sejarah Melayu. Justeru, kaitan antara sastera dan sejarah sememangnya akrab sekali yang membolehkan pemahaman mengenai peristiwa pada masa lampau.
No comments:
Post a Comment